Kad kahwin merupakan perkara yang perlu disediakan selepas penentuan tarikh perkahwinan hasil daripada perbincangan kedua-dua pihak ibu bapa. Dengan adanya kad kahwin, maka pengantin baru boleh secara rasminya mula menjemput tetamu-tetamu ke majlis perkahwinan mereka.
Contoh kad kahwin daripada lama web Namiza
Maklumat-maklumat Yang Perlu Dicetak Pada Kad Kahwin
Beberapa maklumat-maklumat penting yang harus ada pada kad tersebut ialah;
- Nama Ibu Bapa Pengantin
- Nama Pengantin
- Tarikh Majlis
- Lokasi Majlis
- Aturcara Majlis
- Pelan ke lokasi majlis
Selain itu, terdapat juga maklumat seperti maklum balas tetamu sama ada akan hadir atau tidak ke majlis juga turut dicetak pada kad itu. Biasanya tuan rumah akan meminta tetamu jemputan untuk memberitahu terlebih dahulu berapa jumlah orang yang akan hadir ke majlis. Ini memudahkan tuan rumah untuk mengatur tempat duduk, makanan dan cenderahati perkahwinan dengan secukup-cukupnya.
Kad Kahwin Rekaan Sendiri
Jika anda ingin mereka sendiri kad tersebut, anda boleh memuat turun contoh-contoh kad melalui laman web tertentu. Contohnya di weddingchicks.com. Di laman web ini, ada banyak jenis template dan contoh kad kahwin untuk dipilih. Anda hanya perlu memasukkan maklumat-maklumat yang hendak pada kad lalu mencetak keluar. Selain itu, anda juga boleh menghiasi kad yang dicetak tersebut dengan menambah reben dan buckles.
Masa Yang Sesuai Untuk Menghantar Kad Kahwin
Masa yang sesuai untuk menjemput tetamu adalah bergantung kepada situasi masing-masing. Lokasi majlis dan tarikh majlis biasanya menjadi pertimbangan utama. Contohnya jika lokasi majlis adalah sangat jauh dari bandar, maka pengantin baru harus menjemput tetamu lebih awal misalnya 3 bulan sebelum  majlis. Ini membolehkan tetamu mempunyai masa yang secukupnya untuk merancang jadual masa. Tetamu yang jauh perlu mencari tempat penginapan dan mungkin perlu mengambil cuti untuk hadir. Selain itu, jika majlis anda dijadualkan pada cuti umum ataupun cuti sekolah, kad kahwin harus juga diserahkan kepada tetamu pada masa yang lebih awal. Pada cuti umum dan cuti sekolah, ramai yang merancang untuk pergi bercuti. Jadi, jemputan awal boleh memastikan tetamu membuat perancangan awal.
