Semasa hari perkahwinan, barang kemas merupakan salah satu perkara yang penting. Selain daripada baju pengantin, makanan-makanan yang disediakan oleh catering, jurufoto dan juru video perlu diambil berat oleh pengantin baru, barang kemas yang dipakai oleh pengantin perempuan juga amat dititikberatkan. Pada hari yang paling penting dalam seumur hidup, pengantin perempuan tentu inginkan sesuatu yang terbaik.
Pilih Barang Kemas Yang Sepadan
Pemilihan barang kemas yang sesuai untuk hari perkahwinan adalah satu tugas yang susah. Barang kemas yang dibeli mesti berpadanan dengan baju pengantin dan pada masa yang sama tidak terlalu menonjol. Barang kemas tersebut juga perlu bersesuaian dengan personaliti pengantin perempuan.
Mutiara Lambang Kekayaan
Bagi bakal pengantin baru, pilihan utama bagi barang kemas ialah mutiara. Mutiara pada satu ketika dahulu menjadi lambang kekayaan. Namun pada hari ini, mutiara yang dihasilkan oleh tiram ternakan telah menjadi murah dan mampu dimiliki oleh semua orang. Mutiara pada hari ini mewakili keanggunan dan harmoni. Ini merupakan faktor yang menyebabkan mutiara menjadi pilihan utama para pengantin baru.
Barang kemas mutiara biasanya diwarisi turun-temurun. Kebiasanya, ibu akan menghadiahi anaknya barang kemas mutiara yang dipakai olehnya semasa berkahwin dulu. Jika anda ingin membeli barang kemas mutiara yang baru, pilihan terbaik ialah mengunjungi kedai yang khas menjual barang kemas mutiara untuk para pengantin baru. Kebiasanya harga yang dijual akan lebih mahal kerana penjual tahu pengantin perempuan akan sanggup berbayar lebih untuk hari yang penting itu. Oleh itu, pengantin perempuan dinasihatkan untuk membuat tinjaun harga di beberapa kedai sebelum membuat keputusan.
Mutiara Ternakan Adalah Tulen
Sebelum membeli barang kemas mutiara, pengantin perempuan harus tahu apa yang mereka hendak terutamanya jika bajet yang ada tidak banyak. Perkara pertama yang perlu di ambil tahu ialah mutiara ternakan dan mutiara sahih ataupun semulajadi. Ramai salah faham bahawa mutiara ternakan merupakan mutiara palsu. Ini sebenarnya salah. Mutiara ternakan diambil melalui tiram yang diternak. Manakala mutiara semulajadi ialah tiram yang hidup secara liar. Mutiara liar sukar didapati dan ini menyebabkan harganya sangat tinggi.
Pengantin baru digalakkan membeli mutiara yang dijual secara set. Perbezaan warna dan saiz mutiara dapat dielakkan jika membeli dalam set. Mutiara yang dibeli boleh ditambah dengan emas atau perak untuk dijadikan loket tali leher. Ia juga boleh dijadikan seutas rantai leher mutiara.
Tidak kira apa bentuk yang dihasilkan, pengantin perempuan harus pastikan barang kemas mutiara tersebut bersesuaian dengan baju dan personalitinya.

Leave a Reply